Saturday, February 7, 2009

Tengah Makan Mi Maggi

Tiba-tiba aku teringat zaman muda-muda dulu. Waktu aku masih di bangku sekolah menengah dan majoriti sepupu-sepupu aku masih bujang. Lokasinya adalah rumah Maktok yang 'lama' di depan masjid, Lorong Akar Peluru.

Selalunya kalau saudara mara balik Alor Setar mesti berkumpul di rumah Maktok dan Wan. Waktu itu Kak Nab masih berkhidmat di situ (rindu koey tiaw goreng Kak Nab). Semua orang pun tahu yang Maktok dan Wan suka tido awal, kira-kira pukul 9.30pm ke 10.00pm. Dan kami semua pun maklum yang Maktok suka 'bising' pada cucu-cucunya kalau bab-bab solat dan cara berpakaian. Jadi, untuk mengelak dari terkena 'serangan Maktok', kami cucu-cucu suka lepak di tingkat atas rumah tersebut. Sebabnya Maktok sakit lutut, jadi beliau tidak betah naik tangga ke tingkat atas rumahnya sendiri. Wan masih kuat fizikalnya tapi kami tidak kisah sangat akan Wan sebab beliau 'cool' :P

Aktiviti kami di tingkat atas rumah tu adalah menonton TV, bergossip, bergelak ketawa, dan membuat bising, walaupun azan berkumandang dari masjid seberang jalan. Sepupu-sepupu lelaki yang lebih tua lelaki selalunya akan keluar berjumpa teman-teman lama sepermainan di pekan. Sepupu-sepupu yang berumur 12 tahun ke bawah pula akan dipaksa masuk tidur bersama ibu bapa mereka di bilik selepas jam 10pm. Jadi yang tinggal adalah kami-kami yang perempuan ini menghuni ruang tamu tingkat atas merangkap ruang tidur.

Selain daripada aktiviti-aktiviti di atas, kadang kala kami turun ke dapur kira-kira jam 11pm untuk masak mi Maggi. Selalunya, Kak Sha dan Kak Zareen akan mengetuai aktiviti ini. Yang muda-muda sikit seperti Kak Eena, Adik, dan aku akan menyusul dari belakang. Tukang masak tak lain tak bukan ialah Kak Sha. Beliau akan masak untuk kami semua dan selalunya perisa kari menjadi pilihan (beliau). Yang paling menarik bukanlah perisa mi Maggi pilihan kami (beliau) tetapi ialah konsep memakan di ruang makan yang gelap. Ini kerana Maktok dengan Wan sedang lena tidur dimana bilik tidur mereka sangat hampir dengan dapur. Jadi kami sekadar buka lampu dapur sahaja manakala lampu ruang makan tidak dibuka. Makan pun diam-diam kerana tidak mahu mengejutkan sesiapa. Tetapi kadang-kadang Kak Nab akan keluar dari biliknya di tingkat atas dan 'sound' kami untuk cuci mangkuk dan periuk.

Selepas makan kami akan naik balik ke tingkat atas untuk 'layan rasa mengantuk'. Selalunya aku akan tidur dahulu sebab takut mama marah kalau bangun lambat keesokan paginya. Lagipun aku tak biasa tidur lambat selepas jam 12 tengah malam. Aku juga akan jadi 'moody' kalau bangun pagi dan melihat sarapan pagi hampir habis/tinggal saki baki sahaja di atas meja makan. Ibu bapa orang lain tak kisah aje anak-anak diorang bangun sejurus sebelum makan tengah hari :P

Aku rindukan zaman itu....

No comments: